KELAB Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) menggesa kerajaan negeri terlibat sama dalam membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), ketika ini, lapor SITI FATIHAH AWANG.

Pengerusinya, Mohd Yahya Jamada Ali berkata, keterlibatan kerajaan negeri itu terbuka dari pelbagai aspek dan kaedah yang dirasakan sesuai bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung badan induk bola sepak negeri itu.

“Walau apa pun, kita tetap mahu kerajaan negeri libatkan diri untuk mengurangkan bebanan ini. Tidak kira apa cara, yang penting kita mahu semua pihak gembleng tenaga bagi memastikan Kelantan dapat sertai Liga-M (Liga-Malaysia) musim depan.

“Banyak cara dan inisiatif boleh kerajaan negeri lakukan. Bantulah seadanya, tidak kira apa bentuk sekalipun. Ini harapan rakyat, tidak mungkin kita berpaling (mengalah) dengan mudah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan kongres luar biasa (EGM) Kafa yang memutuskan Kelantan menarik diri daripada beraksi dalam Liga-M musim depan setelah mendapat persetujuan daripada ahli gabungan.

Dalam masa sama juga, barisan exco Kafa turut diminta meneruskan usaha mencari dana sekurang-kurangnya RM3 juta sebelum 6 Januari ini bagi memastikan pasukan itu kekal bersaing pada musim depan.

Mengulas isu yang sama, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net), Mahizi Mahmood turut berharap syarikat yang mahu menaja The Red Warriors (TRW) tampil membuat perundingan terus dengan Kafa.

“Buat masa ini kita banyak disajikan dengan kenyataan pihak yang berhasrat menaja Kelantan. Jika benar, jumpalah dengan Kafa untuk close-deal. Kami sebagai penyokong amat berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan baik.

“Jumpa, berunding dan bincang apa yang patut mengenai bentuk tajaan yang sesuai untuk Kafa. Kita tidak mahu maruah pasukan negeri dipermainkan. Malah anak-anak Kelantan yang berjaya di luar sana (luar negeri) pun boleh bantu Kafa, dengan pelbagai cara. Inilah masanya untuk kita berbakti kepada negeri kita sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai usaha yang dilakukan Kelate.Net dalam membantu Kafa, Mahizi berkata, kelabnya sendiri mengambil inisiatif menghebahkan Tabung Dana Penyelamat Bola Sepak Kelantan yang dilancarkan Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK), sejak 19 Disember lalu.

“Kami telah melakukan pelbagai usaha namun akhirnya ia berbalik kepada kesedaran penyokong Kelantan itu sendiri. Walau apa pun, kita berusaha dan berdoa untuk minggu terakhir sebelum tarikh pengesahan penyertaan (Liga-M) itu nanti.

“Jika ada rezeki Kelantan bersaing dalam liga nanti,  kami berharap pemain beraksi bersungguh-sungguh dan memberi kemenangan kepada pasukan dan negeri Kelantan. Itu sahaja harga sebuah pengorbanan pemain kepada penyokongnya,” katanya.