PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) meletak harapan tinggi agar pertemuan bersama kerajaan negeri bagi membincangkan masa depan pasukan The Red Warriors (TRW) membuahkan hasil positif, kata Pemangku Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah.
Menurutnya, Kafa amat berharap perbincangan yang akan dilakukan nanti dapat membantu meringankan bebanan masalah yang dihadapi pasukan Kelantan kini.
"Apa pun, kami (Kafa) ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sedia berjumpa dengan kami. Besar harapan agar pertemuan itu akan memberi satu input positif, demi maruah Kelantan,”katanya.
Kerajaan negeri melalui exconya, Datuk Abdul Fattah Mahmood sebelum ini memberitahu, sebarang keputusan akan dibuat selepas pertemuan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersama Kafa, esok.
Kerajaan negeri juga turut memberi bayangan akan memastikan satu keputusan terbaik dibuat bagi memastikan Kelantan kekal bersaing dalam Liga-M musim hadapan.