Kuala Lumpur: “Saya memang berhajat mahu membantu pasukan Kelantan,” demikian pengakuan syarikat pengeluar produk minuman terkemuka tanah air, SuperBest Power Health Food and Beverages apabila menolak dakwaan pihaknya tidak serius untuk menaja skuad The Red Warriors (TRW) itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamal Mohd Nor, perbincangan awal sudah dibuat bersama pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebelum ini dan mereka positif perkara itu akan dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Saya 100 peratus mengakui bersedia membantu KAFA dan ketika ini masih menunggu tarikh baharu untuk bersemuka dengan mereka.
“Malah tengahari tadi (semalam) pihak KAFA menyatakan akan mengadakan perbincangan lanjut dan kami bersedia membantu Kelantan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
“Saya tahu mengapa pihak KAFA dalam Kongres Luar Biasa hari ini (semalam) mengatakan pihak penaja cuma berjanji lisan, tapi saya tegaskan kami di SuperBest Power benar-benar serius,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Sementara itu, MOCCIS Furniture Sdn Bhd (MFSB) turut menegaskan mereka bersedia menaja skuad kendalian Zahasmi Ismail dengan beliau akan bersemuka pengurusan KAFA pada 4 Januari depan.
“Saya ikhlas untuk membantu pasukan dan itu janji saya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFSB Hasry Sham Chasmen semalam.
- METRO
- METRO