
Ketua Jurulatih baharu Kelantan, Velizar Popov, menganggap dua perlawanan berturut-turut menentang Selangor di Stadium Shah Alam, malam esok dan di gelanggang sendiri Sabtu nanti, akan menjadi kayu pengukur tahap kemampuan skuadnya.
"Tentulah, pertemuan menentang Selangor dalam aksi 'back to back' menjadi kayu pengukur kepada kami bagi menilai sejauh mana kemampuan pasukan memburu KPI yang ditetapkan oleh presiden (Tan Sri Annuar Musa) untuk berada di kelompok empat teratas liga dan memburu Piala Malaysia.
"Saya idamkan tiga mata atau sekurang-kurangnya berkongsi mata di tempat lawan sebagai hadiah permulaan terbaik untuk saya memulakan aksi dalam saingan Liga Super. Ia juga memastikan pemain mendapat kenyakinan bagi memulakan pusingan kedua liga,” kata Popov dalam sidang media pertamanya di Kota Bharu, Kelmarin.
Popov,40, yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan Maldives, menyifatkan tekanan dan harapan tinggi diletakkan oleh penyokong Kelantan terhadapnya adalah perkara biasa dan menjadi sebahagian daripada asam garam kerjayanya.
Dia juga mengaku sanggup mengambil risiko tinggi apabila mengambil keputusan menerima cabaran melatih pasukan yang sedang bergelut dalam saingan Liga Super musim ini.
"Ya…memang risiko besar mengambil pasukan di separuh musim tetapi saya tidak bimbang kerana yakin dengan kemampuan diri untuk kembali meletakkan Kelantan sebagai kuasa utama di Malaysia.
"Bola sepak dan penyokong saling memerlukan. Saya akur dengan harapan tinggi penyokong di sini yang mahukan Kelantan bangkit semula selepas prestasi terumbang ambing dalam Liga Super dan tersingkir awal dalam kempen Piala FA,” tambahnya.
Kelantan akan berdepan Selangor di Stadiun Shah Alam, esok, sebelum sekali lagi berdepan skuad itu di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Sabtu ini.

