K DEVAN membayangkan kemungkinan dia beralih ke pelan kedua setelah gagal mendapatkan pemain import berkualiti tinggi selepas skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors mengharungi tiga aksi persahabatan pra musim.

Pengendali Kelantan itu mengakui, kesemua pemain asing yang didatangkan ke Kota Bharu untuk diuji bersama pasukannya tidak memenuhi kriteria ditetapkan pihak pengurusan.

“Kita akan buat keputusan dalam masa terdekat tetapi bukan ke atas pemain import yang diuji pada malam ini. Saya rasa mereka bukanlah ciri-ciri pemain yang saya mahukan.

“Kita ada opsyen dan akan pergi ke pelan B itu. Macam saya beritahu dahulu, untuk mencari pemain import, sebenarnya kita masih ada masa lagi,” katanya selepas pertemuan menentang UiTM FC di Kota Bharu, malam kelmarin.

Andai berpandukan kenyataan jurulatih berusia 54 tahun itu, bererti dua pemain yang diuji sebelum ini iaitu Lee Gil Hoon dari Korea Selatan, Marko Perovic (Serbia) selain Mohamed Arif (Maldives), Prince Nnake serta Saheed Babinton (Nigeria) perlu mengucapkan selamat tinggal kepada skuad pantai timur itu.

Pada perlawanan tersebut, tuan rumah berpesta jaringan 7-0 ke atas UiTM FC dengan pemain dari Nigeria, Prince Nnake mencipta hatrik manakala Marko Perovic, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd Khairul Izuan Rosli, masing-masing menyumbang satu gol.

Mengenai persembahan pasukannya, Devan memberitahu, dia berpuas hati prestasi anak buahnya yang menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

Menurutnya, biarpun tidak menurunkan skuad utama namun dia sedikit pun tidak teruja dengan kemenangan besar ke atas UiTM FC.

“Walaupun kita kurang dari segi taktikal kerana saya lebih menumpukan latihan fizikal sejak dua minggu lalu, namun saya lihat pemain faham apa yang saya nak. Nampak ada kesungguhan dan komitmen tinggi mereka bekerja satu unit berpasukan,” katanya.