
Gambar dalam inhouse dan e-mel zainul
KUALA LUMPUR – Dua wakil Kelantan, Bachok dan Gua Musang mempamerkan kebangkitan untuk mara ke separuh akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016-2017 selepas masing-masing menyingkirkan tuan rumah, Manjung dan Cheras pada suku akhir kedua, semalam.
Bachok menjinakkan Manjung 2-1 di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak sementara Gua Musang mengejutkan Cheras, juga 2-1 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Skuad bimbingan bekas pemain negara era 70-an, Mahadi Yusof itu layak secara agregat 3-2 sesudah diikat 1-1 di Padang IKBN, Bachok dalam suku akhir pertama 15 April lalu sementara Gua Musang mara menerusi kemenangan agregat 4-3 (2-2 di Padang Sivik Bandar Gua Musang).
Keningau turut bangkit daripada ketinggalan dua gol di Kompleks Sukan Keningau, Sabah untuk mengikat Paya Besar 2-2 sekali gus ke separuh akhir menerusi agregat 4-3 setelah memenangi suku akhir pertama lalu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 2-1.
Terhimpit dengan pemburuan gol tempat lawan, Gua Musang membuka jaringan menerusi Mohd. Azri Saifuddin pada minit keenam namun sempat diikat oleh pemain Cheras, M. Ganeswaran pada minit ke-33.
Mengambil kesempatan gara-gara kad merah yang dikenakan terhadap pemain Cheras, Mohd. Airi Mukmin, Gua Musang kembali mengasak sehingga beroleh gol kemenangan yang dicari-cari, enam minit sebelum tamat permainan.
Sumber : Utusan Melayu (M) Bhd