Kota Bharu: Kerajaan negeri mencadangkan supaya golongan profesional tampil meneraju Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan badan induk itu perlu dibebaskan daripada cengkaman politik demi memastikan organisasi berkenaan tidak diancam masalah kewangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Ab Fattah Mahmood berkata, perubahan itu perlu dilakukan supaya organisasi terbabit terurus dengan cara lebih profesional tanpa campur tangan politik.
Katanya, wakil kerajaan negeri juga perlu dilantik dalam Jawatankuasa KAFA dan dipanggil dalam mesyuarat supaya mereka tahu setiap perkembangan yang berlaku.
“Kami tidak tahu apa-apa perkembangan dalam KAFA dan apabila ada masalah sekarang (hingga mahu tarik diri dalam Liga Malaysia), ia seolah-olah dicampak kepada kerajaan negeri termasuk didakwa tidak pernah membantu.
“Sedangkan kami sendiri tak pernah tahu apa masalah dalaman KAFA, bagaimana ewangan mereka kerana tiada wakil kerajaan negeri dalam organisasi itu.
“Malah, kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen termasuk bantuan dan sokongan apabila mengurangkan cukai levi daripada 18 peratus kepada 10 serta tidak tekan KAFA untuk membayar tunggakan,” katanya selepas Mesyuarat Exco semalam.
Beliau berkata, masalah kekurangan dana dalam KAFA tidak sepatutnya berlaku kerana individu menguruskan organisasi berkenaan membabitkan ahli politik hebat dan berpengalaman mencari sumber kewangan.
Katanya, dua menteri juga pernah menerajui KAFA dan justeru isu kewangan sepatutnya tidak menjadi masalah kepada badan induk bola sepak Kelantan itu.
“Untuk itu, kerajaan negeri akan memastikan TRW (The Red Warriors) akan terus bergerak ke depan dalam pembangunan bola sepak yang menjadi sukan utama Kelantan.
“Kami akan tunggu sehingga Kongres KAFA pada 29 Disember ini dan akan mengadakan pertemuan bersama pada 1 Januari 2017,” katanya.
- METRO