PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan sudah mempunyai penaja utama The Red Warriors (TRW) di sebalik keputusan badan induk bola sepak negeri itu menarik diri dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.
Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya kesal apabila beberapa syarikat perniagaan tertentu menggunakan media massa dengan mendakwa menjadi penaja utama pasukannya.
Menurutnya, tindakan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip persatuannya yang tidak akan mendedahkan status mana-mana penaja selagi terma dan syarat sesuatu rundingan itu belum dipersetujui kedua-dua pihak.
“Dalam suasana begini, banyak pihak yang cuba mempromosikan diri masing-masing untuk mendapat publisiti murahan, seolah-olah mereka adalah balang oksigen penyelamat Kafa tanpa melihat kesan terhadap pihak lain.
“Kesannya, kemunculan mereka ini, sudah ada penaja-penaja lain yang ikhlas untuk membantu Kafa sudah mula menjauhkan diri,” katanya dalam satu kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.
Akhbar tempatan semalam melaporkan dua syarikat, red One Network Sdn Bhd dan SuperBest Power Health and Beverages antara yang berminat membantu Kafa untuk menaja skuad pantai timur itu, pada musim depan.
Paling dikesalkan tanpa menamakan entiti perniagaan itu, Ismail memberitahu, ada pihak mendakwa menjadi penaja utama sedangkan sesebuah syarikat yang berhasrat memiliki status penajaan tertinggi itu perlu memenuhi kriteria tertentu ditetapkan oleh Kafa.
“Perlu diingat pada tahun lalu, walaupun syarikat Chengal Jati Sdn Bhd menaja RM3 juta untuk bola sepak Kelantan namun syarikat itu belum lagi mencapai status penaja utama,” katanya.
Namun begitu katanya, Kafa dalam masa sama sentiasa membuka pintu kepada mana-mana syarikat untuk menaja TRW asalkan mereka mengikut segala prosedur ditetapkan dalam rundingan berkenaan.
“Kalau ikhlas ingin membantu Kafa, mereka boleh datang berjumpa dan berunding dengan kami. Setelah dimuktamadkan (rundingan), barulah boleh dibuat pengisytiharan bersama secara rasmi,” katanya.