ALOR SETAR - Tindakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) meminta penyiar rasmi Liga Malaysia tidak menyiarkan perlawanan secara langsung Kedah bertemu Selangor di Stadium Darul Aman dilihat sebagai tidak tepat.

Pengulas sukan, Jasni Shafie berkata,beliau turut dihujani soalan oleh peminat bolasepak negeri itu berhubung kewajaran pengurusan bolasepak Kedah berbuat demikian.

Menurutnya, pemilihan Kedah yang sekarang berada di kelompok teratas liga menyaksikan pasukan itu menjadi tumpuan bukan sahaja penyokong Hijau Kuning namun peminat negeri lain juga.

"Ramai peminat bola bertanya saya tentang isu ini. Nak jawab nanti ada yang  terasa hati. YB Pak Tam Aminudin (Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar) adalah sahabat lama saya. Dia mungkin mendapat nasihat atau pandangan yang tidak tepat," katanya yang dipetik melalui facebook rasminya.

Jasni berkata, Kedah patut berbangga kerana setiap kali siaran langsung, ia turut jadi perhatian penyokong pasukan lain.

"Soal cemburu atau mereka menonton sambil harapkan Kedah kecundang adalah soal lain kerana sebagai pasukan hebat sudah tentulah ramai yang cemburu," katanya.

Kata beliau lagi, pemilihan Darul Aman sebaga venue siaran langsung tiga perlawanan berturut-turut mungkin secara kebetulan kerana dalam aksi Piala Malaysia, Kedah sudah tentulah jadi tumpuan kerana mereka adalah penyandang juara.

"Kemerosotan penonton ke Stadium Darul Aman mungkin berpunca beberapa faktor. Antaranya poket sikit 'kempis' lepas raya, cuaca hujan yang tidak menentu dan saingan Piala Malaysia baru nak panas.

"Ada langkah tertentu boleh difikirkan untuk tambah pendapatan KFA di kala pasukan sedang melonjak ini. 

"Jadi, langkah melarang siaran langsung bukanlah sesuatu yg tepat buat masa ini kerana yang menontonnya bukan hanya penonton di Kedah sahaja," katanya.

Tambahnya, ada penyokong Kedah yang berada di luar negara kecewa dengan pembatalan siaran langsung itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan KFA berharap penyokong Hijau Kuning tidak lagi memanjangkan isu tersebut di laman sosial sebaliknya terus berdiri teguh di belakang pasukan.

Aminuddin berkata, pihaknya sudahpun menerangkan dengan jelas beberapa sebab menerusi satu kenyataan media yang meminta penyiar rasmi Liga Malaysia menunda siaran langsung pada perlawanan akan datang.

Sumber : SINAR HARIAN