Rabu, 19 Julai 2017

[Highlight HD] : Kelantan vs Kedah 3-1 | Piala Malaysia 2017

Foto TRWFC.
Gambar : TRWFC

Video : MEDIA KFA

Video : Kelantan Creative TV

[Highlight HD] : Kelantan vs Kedah 3-1 | Piala Malaysia 2017

KELANTAN KEJUTKAN KEDAH!
--
KELANTAN keluar dari badi kekalahan apabila mengejutkan pasukan pilihan, Kedah 3-1 pada aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Kelantan yang kembali mendapat sentuhan Zahasmi Ismail jelas mempamerkan corak permainan lebih tersusun dengan menguasai sebahagian permainan, pada pertemuan cukup sengit itu.

Kedah yang melakukan sepak mula tidak menunggu lama untuk mencemaskan Kelantan hasil kesilapan dilakukan Norhafiz Zamani Misbah namun percubaan Ken Ilso Larsen diselamatkan penjaga gol, Mohd Ramadhan Abd Hamid, pada minit kedua.

Tiga minit berselang, giliran tuan mencemaskan pelawat menerusi gerakan menarik Abou Bakr Al-Mel yang memperdayakan lima pemain lawan tetapi nasib tidak memihaknya setelah rembatannya tersasar di sebelah kiri gawang.

Kedah yang banyak mengatur serangan menerusi bahagian sayap memperoleh dua peluang selepas itu tetapi Ilso Larsen gagal merembat tepat pada minit kelapan disusuli percubaan lemah Baddrol Bakhtiar mudah diselamatkan Mohd Ramadhan.

Minit ke-21, tuan rumah seharusnya memecahkan kebuntuan apabila Abou Bakr berjaya menewaskan pertahanan Kedah, Mohd Fitri Omar di dalam kotak penalti pelawat namun rembatan kaki kirinya sekadar menggegar jaring sisi sebelah luar.

Skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff kembali mencipta peluang terbaik untuk berada di depan namun Ilso Larsen gagal memanfaatkannya setelah percubaannya sedikit melepasi palang, tiga minit kemudian.

Percaturan taktikal Zahasmi mengarahkan Morgaro Gomis merantai kemas Liridon Krasniqi sepanjang permainan membolehkan mereka kembali mengatur serangan namun gol yang dinantikan masih belum kunjung tiba setelah percubaan kapten, Indra Putra Mahayuddin tersasar, pada minit ke-26.

Abou Bakr hampir memberikan gol pendahuluan tiga minit selepas itu namun rembatan jarak jauhnya hanya beberapa meter melepasi palang tatkala Mohd Farhan Abu Bakar sudah tertewas di posisinya.

Aksi kembali mendebarkan apabila Mohd Syazwan Zainon berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Kelantan tetapi Krasniqi kempunan untuk mencetak jaringan apabila rembatannya gagal menepati sasaran, pada minit ke-42.

Malah tuan rumah juga turut kecewa apabila tampanan Abou Bakr meliar dua minit kemudian disusuli percubaannya selepas memperdayakan dua pertahanan lawan berakhir dengan bola hanya melintasi pintu gol, seminit sebelum wisel dibunyikan.

Kebuntuan jaringan kem tuan rumah akhirnya terlerai apabila Gomis pantas mencuri bola di kaki Muhammad Syazwan Tajudin sebelum melepaskan tendangan lencong sekali gus memberikan gol buat pasukannya, pada minit ke-54.

Pelawat yang tersentak dengan jaringan itu bangkit melancarkan serangan tetapi sepakan percuma Sandro da Silva Mendonca jelas terlalu tinggi di atas palang, empat minit kemudian.

Kem Kedah terus ditimpa malang apabila kehilangan khidmat Muhammad Farhan Roslan yang sebelum itu masuk menggantikan Baddrol akibat kecederaan lutut, pada minit ke-60.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Abou Bakr apabila meledakkan gol kedua menerusi rembatan menarik yang gagal diselamatkan Mohd Farhan, untuk menjadikan kedudukan 2-0, pada minit ke-65.

Indra Putra hampir mengukuhkan kedudukan ketika permainan menuju ke minit ke-71 namun sepakan bebas dilakukannya hanya sedikit serong di sebelah kanan biarpun Mohd Farhan sudah tertewas di posisinya.

Anak buah Zahasmi terus memberi tekanan di sebalik serangan bertali arus pelawat tetapi Abou Bakr terlepas peluang mencetak gol kedua peribadi setelah gagal menyempurnakan hantaran Indra Putra, pada minit ke-81.

Kesungguhan Kedah memburu gol akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan Mohd Qayyum dan Krasniqi tenang menyempurnakannya untuk menjadikan kedudukan 2-1, empat minit kemudian.

Bagaimanapun, Abou Bakr membunuh sisa perjuangan Kedah apabila meledak gol ketiga setelah memperdayakan kapten, Khairul Helmi Johari di dalam kotak penalti sekali gus mengesahkan kemenangan 3-1, pada pertemuan malam tadi.

KELANTAN 3
Morgaro Gomis (m-54)
Abou Bakr Al-Mel (m-65 dan 90+4)

KEDAH 1
Liridon Krasniqi (pen m-85)
.
Oleh Mazram Idzam Rizal Mahmud
Sinar Harian Online