RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!
Khamis, 8 Jun 2017
Penaja akan bayar hutang, jika ada diskaun pemain
KOTA BHARU: Mana-mana pemain yang mempunyai tunggakan gaji dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan sanggup memberi diskaun 50 peratus, akan dijelaskan hutang mereka dalam tempoh 30 hari.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan penaja sudah bersetuju untuk membantu menyelesaikan hutang persatuan mengikut syarat yang diberikan itu. Katanya, bekas pemain import dan pemain tempatan yang mempunyai gaji tertunggak dicadangkan memberi diskaun bagi tunggakan gaji bagi membolehkan penaja membayarnya.
"KAFA ternyata tidak mempunyai wang untuk menjelaskannya dan mereka (bekas pemain) yang terbabit perlu menunggu agak lama lagi.
"Sebagai satu cara membantu tanpa prejudis, kita (penaja) secara sukarela akan menawarkan satu plan penyelesaian (hutang KAFA) kepada semua pemain import dan tempatan.
"Mana-mana pemain atau pegawai yang sanggup menyelesaikan tuntutan dengan memberi KAFA diskaun 50 peratus, kita (penaja) akan bayar bagi pihak KAFA baki hutang secara tunai dalam tempoh 30 hari mereka memberi persetujuan hitam putih," katanya dalam laman sosial, facebook, miliknya, hari ini.
Katanya, pihak penaja juga akan melantik firma guaman sebagai 'Stake Holder' kepada perjanjian tawaran itu.
"Sekiranya mereka sukarela bersetuju menerima tawaran kami (bersetuju memberi diskaun 50 peratus) kami akan jelaskan bagi pihak KAFA hutang itu (selepas diskaun) secara tunai serta-merta," katanya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata tawaran itu dibuat oleh beberapa penaja pasukan itu bagi membantu menyelesaikan krisis gaji bekas pemain.
"Bagi yang tidak bersetuju, tiada paksaan pada mereka dan mereka perlu menunggu seperti biasa sehingga KAFA ada keupayaan membayarnya.
"Kerana itu adalah hak mereka, mereka boleh pilih yang mana satu, kami cuma cuba membantu kedua-dua pihak tanpa prejudis," katanya.
Sumber : BERITA HARIAN