Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, wanita berumur 22 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya berhubung kemalangan terbabit selesai direkodkan.

Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan berkenaan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut, katanya yang ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pulaihari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihaknya dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang membiarkan anak mereka berkeliaran pada lewat malam.

"Ya, tindakan drastik perlu diambil. Sebelum ini kita (polis) sudah banyak kali mengambil tindakan diplomatik, kita bantu hantar anak mereka pulang ke rumah, kita beri nasihat, sudah bermacam kita buat tetapi akhirnya polis juga yang dipersalahkan," katanya.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, pihaknya percaya kejadian kemalangan seperti yang berlaku awal pagi semalam dapat dielakkan sekiranya ibu bapa memantau pergerakan anak-anak mereka.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, lapan remaja maut manakala lapan lagi cedera apabila basikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Almera di jalan terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selata, Assiten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, ketika itu, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Katanya, pemandu tersebut yang datang dari arah Taman Pelangidipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan.- BERNAMA

SUMBER : UTUSAN