Zainal, 55, berkata, dia ibarat digantung tidak bertali dan tidak boleh melatih pasukan lain ke­rana pada dasarnya masih memiliki kontrak bersama FAS, sedang hakikatnya dia tidak lagi mempunyai majikan sejak dipecat oleh Selangor.

Legenda bola sepak negara itu mendesak pihak pengurusan FAS musim 2016, yang diketuai Presidennya ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengurus Pasukan Ami­rudin Shari agar bersikap profesional dalam menangani isu pemecatannya.

“Saya ha­nya mahu per­­­­­juangkan hak sebagai be­­kas jurula­tih Se­langor seperti yang dimuktamatkan dalam kontrak. Walaupun kontrak saya sehingga bulan November 2017 iaitu selama dua tahun, tetapi ia ditamatkan pada Ogos, 2016.

“Memang satu Malaysia tahu saya dipecat, apa yang saya mahu surat pemecatan itu supaya saya ada bukti saya dipecat dan saya boleh membuat langkah kedua .

“Secara jujur walaupun saya telah dipecat namun saya tidak menerima surat rasmi yang mempu­nyai logo FAS menyatakan saya dipecat.

“Sebagai jurulatih profesional, saya me­nerima pemecatan saya tetapi (FAS) berjanji akan melunaskan baki gaji saya seperti yang termaktub dalam kontrak selepas rayuan saya ditolak,” kata Zainal dalam sidang akhbar di kediamannya di Shah Alam, hari ini.

Kata Zainal, sehingga hari ini dia tidak menerima surat pemecatan rasmi daripada FAS biarpun pernah memintanya seminggu selepas dipecat.

Dia sebaliknya hanya diberitahu mengenai pemeca­tan itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Mohamed Azmin kepada Penolong Pengurus, Noor Hi­sham Mohd. Ghouth.

Lebih memeritkan, bekas pengendali Pahang itu menjelaskan bahawa gaji bulan November dan Disember masih belum diterima, yang mana sepatutnya pihak FAS perlu melangsaikan pampasan baki kontraknya sekali gus selepas dipecat serta merta pada 6 Ogos tahun lalu.

Zainal dilantik sebagai Ketua Jurulatih Selangor pada awal musim Liga Malaysia 2016 bagi menggantikan Mehmet Durakovic, tetapi dipecat pada 6 Ogos sejurus selepas Selangor tewas 1-0 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman.

Keesokannya pada 7 Ogos, satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Amirudin menerusi Facebook menyatakan jurulatih itu dipecat serta merta dan diganti buat sementara oleh K. Gunalan.

“Selepas tamat perlawanan menentang Kedah, saya telah dipanggil oleh Penolong Pe­ngurus iaitu Hisham dan dia memaklum pemecatan saya atas arahan Presiden (Azmin) menerusi SMS yang ditunjukkan kepada saya.

“Saya terima keputusan itu, tetapi saya ingin berjumpa dan telah membuat temu janji dengan Pengurus Pasukan (Amirudin) untuk merayu serta menceritakan punca sebenar di sebalik kemerosotan prestasi pasukan Selangor,” katanya lagi.

Menurut Zainal lagi, selepas pemecatannya dia telah berjumpa Amirudin lebih daripada tiga kali dan bekas pengurus Selangor itu memohon sedikit masa untuk berbincang de­ngan pihak pengurusan FAS 2016 serta Presiden bagi menyelesaikan tuntutannya.

“Dalam minggu ini saya ada hubungi Presiden bagi menyelesaikan masalah saya. 

Alhamdullilah saya dapat SMS daripada pihak presiden untuk berurusan dengan pengurus pasukan dan dapat bersua dengan Amirudin,” ujarnya.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan Amirudin gagal selepas beliau enggan mengulas kerana berada di luar negara.