JOHOR BAHRU 18 Jan. – Penderitaan seorang jurujual lelaki yang menjadi mangsa dera sehingga menyebabkan kecederaan serius pada badannya terbela hari ini apabila majikannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencederakan mangsa, minggu lalu.
Mohd. Firdaus Zahari, 36, yang merupakan tukang cat kenderaan didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Mohd. Firdaus Ibrahim, 22, di Jalan Bakawali 52, Taman Johor Jaya pada pukul 10.26 malam, 10 Januari lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohd. Firdaus mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Dia diwakili peguam-peguam, Muhammad Ashraff Mohd. Diah dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh, namun peguam belanya memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang ikat jamin kerana tertuduh belum terbukti bersalah.
Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias kemudian membenarkan Mohd. Firdaus diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari ini sebutan semula kes.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, seorang pemuda yang bekerja menjual minyak wangi dan aksesori kenderaan menjadi mangsa dera majikannya hingga mendatangkan kecederaan serius di telinga dan muka akibat dipukul, disepak serta diterajang selain meninggalkan kesan melecur di badan.
Video oleh ISHAK RAHMAD
SUMBER : UTUSAN