Dalam kenyataan media yang dikeluarkan dua institusi terbabit sebentar tadi, mereka menegaskan penajaan 'The Red Warriors' (TRW) itu adalah lebih berbentuk pakej pengiklanan dan promosi, berbanding perbelanjaan mengurus dan penjenamaan serta pemasaran.
PMB dalam kenyataannya berkata, mereka mengambil bahagian dalam TRW pada 2016 dengan perbelanjaan sebanyak RM200,000 yang merangkumi sembilan peratus daripada peruntukan sedia ada dengan membeli pakej pengiklanan komersial ditawarkan skuad Pantai Timur itu.
"Penajaan pasukan bola adalah kaedah pemasaran yang sama sebagai salah satu inisiatif bagi memaksimumkan kebolehlihatan jenama syarikat kepada masyarakat umum.
"Keputusan penajaan TRW dibuat secara amalan biasa berdasarkan belanjawan tahunan diperuntukkan bagi kegiatan pengiklanan dan pemasaran diluluskan oleh Lembaga Pengarah yang dibuat atas dasar komersial," kata PMB dalam satu kenyataan media di sini. Sementara itu, kenyataan media UniKL turut menegaskan pembiayaan program bagi pengiklanan dan promosi bagi pasukan Kelantan itu dilaksanakan tanpa membabitkan sebarang dana Tajaan Pelajaran Pelajar dari MARA.
"Pembiayaan program pemasaran dan penajaan ini dibuat secara pentadbiran, menggunakan belanja mengurus yang diluluskan setiap tahun yang diperuntukkan khusus untuk tujuan pengiklanan dan promosi.
"Pada 2013, UniKL memutuskan untuk memilih pasukan Kelantan kerana ketika itu, Kelantan adalah pasukan paling berjaya dalam kancah bola sepak tempatan dan memiliki ramai pengikut. "Jadi oleh sebab itu UniKL memutuskan untuk bekerjasama dengan Kelantan sebagai rakan strategik pemasaran.
"Pembabitan penajaan UniKL dalam pasukan Kelantan nyata memberi impak yang besar kepada penjenamaan UniKL yang menyaksikan UniKL berjaya menarik lebih ramai pelajar untuk mengikuti program-program yang ditawarkan," katanya.
BH Sukan sebelum ini melaporkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers, meminta seorang ahli politik bergelar `Tan Sri' tampil menjelaskan mengenai duit tajaan daripada pelaburan MARA dan UniKL yang didakwa dipaksa untuk menaja pasukan TRW.
Bagaimanapun, Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menegaskan agensi itu tidak pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan walau satu sen pun.
sumber : Berita Harian