
KUALA LUMPUR 17 Jan. - Penajaan Pelaburan Mara Berhad (PMB) ke atas pasukan bola sepak Kelantan pada 2016 dibuat berdasarkan faktor komersil bagi tujuan penjenamaan dan pemasaran, seterusnya meningkatkan jualan dan keuntungan syarikat.
PMB dalam kenyataan hari ini memberitahu, pelaburan sebanyak RM200,000 di dalam pasukan The Red Warriors pada 2016, merangkumi sembilan peratus daripada keseluruhan peruntukan syarikat untuk aktiviti penjenamaan dan pemasaran.
"Adalah menjadi dasar PMB, khususnya PMB Investment untuk meningkatkan kebolehlihatan jenama syarikat memandangkan kumpulan telah melalui proses penjenamaan semula pada 2014.
"Ini adalah sejajar dengan arahan Lembaga Pengarah yang mahukan syarikat meningkatkan pendedahan terhadap jenama syarikat bagi mengukuhkan kebolehlihatan jenama agar mampu bersaing dalam industri," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sebagai sebuah syarikat komersil dan berasaskan keuntungan, PMB mempunyai strategi perniagaan dan pemasaran tersendiri untuk meningkatkan pendapatan serta keuntungan.
PMB Investment pula kata kenyataan itu merupakan syarikat milik penuh PMB yang menjalankan perniagaan unit amanah dan mempunyai status Syarikat Pengurus Dana Islamik (IFMC).
"Prestasi syarikat pada tahun 2016 telah menyaksikan peningkatan dengan mencatatkan keuntungan hampir 300 peratus berbanding 2015.
"Jualan dana unit amanah bagi PMB Investment pula telah melebihi sasaran di mana telah meningkat melebihi 40 peratus dalam tempoh setahun.
"Selain daripada itu, jumlah perunding unit amanah telah meningkat sebanyak 55 peratus pada 2016 berbanding dengan 2015," kata kenyataan itu lagi. – UTUSAN ONLINE
SUMBER : UTUSAN


