PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) kesal kerana masih ada syarikat tertentu menggunakan media massa dengan mendakwa bersedia menaja The Red Warriors (TRW) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata, sudah menjadi satu kecenderungan ketika ini apabila pelbagai syarikat cuba mempromosikan diri dengan menyatakan hasrat dan simpati terhadap persatuannya.

“Saya pun tidak faham, kenapa jadi begini? Mereka perlu faham bahawa Kafa mempunyai anak syarikat sendiri iaitu TRW Sdn Bhd yang ditubuhkan bagi tujuan berurusan dengan penaja-penaja luar.

“Mereka perlu rujuk kepada TRW Sdn Bhd, bukan akhbar. Segala rundingan adalah dengan syarikat itu, bukan bercakap kepada media. Kami sendiri tidak tahu menahu sama ada mereka hendak taja atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan, syarikat minuman kopi kesihatan membayangkan kesediaan mereka mengisi kantung badan induk bola sepak negeri itu sebanyak RM10 juta, sekali gus memberi harapan TRW kembali beraksi dalam saingan musim depan.

Menurutnya, tindakan itu boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong Kelantan, seolah-olah Kafa sudah ada penaja sedangkan persatuan itu mengumumkan penarikan diri daripada menyertai Liga-M, minggu lalu.

Tambahnya, syarikat yang berminat membantu Kelantan perlu membezakan konsep selaku penaja utama, menaja, memberi hak atau menjadi rakan kongsi sebelum memeterai perjanjian dengan pihaknya.

“Ada pihak cadangkan Kafa jadi ejen memasarkan produk. Saya ingin tegaskan, Kafa tidak ada outlet (ruang perniagaan), tiada ejen jualan sebaliknya kami hanya mampu iklankan produk mereka menggunakan medium tertentu sahaja,” katanya.

Justeru, Ismail tidak mahu mana-mana pihak lain mengaitkan soal penajaan dengan Kafa, selagi tiada perjanjian hitam putih kedua-dua belah pihak.

“Kena faham, Kafa perlukan RM3 juta sebelum 6 Januari ini, bagi memastikan Kelantan boleh beraksi Liga-M. Isu inilah yang perlu difikirkan sekarang, bukan sekadar jaminan yang entah bila tajaan itu akan sampai ke tangan pihak kami,” katanya.