RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Jumaat, 6 Januari 2017

Kerajaan negeri tak berminat ambil alih TRW



Rosmadi (tengah) bercakap kepada pemberita pada sidang media Kafa di Kota Bharu hari ini.

KERAJAAN negeri tampak ‘bersandiwara’ apabila bertindak menyepikan diri berhubung persetujuan pengambilalihan pengurusan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) Kelantan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Sikap kerajaan negeri yang menyatakan kesediaan mahu membantu Kafa namun kemudian mendiamkan diri ternyata mengecewakan barisan kepimpinan badan induk bola sepak negeri itu.

Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata, kerajaan negeri gagal menunjukkan minat terhadap tawaran yang dikemukakan untuk menguruskan The Red Warriors sehingga tempoh yang diberikan berakhir, pagi tadi.

Menurutnya, sekalipun kecewa, namun Kafa tetap bersikap terbuka dan bersedia berunding bersama kerajaan negeri dengan tawaran baharu pengambilalihan pengurusan skuad pantai timur bagi saingan Liga-M musim 2018.

“Ya, sudah tentu Kafa sangat kecewa dengan apa yang berlaku pada hari ini. Kita tidak terima apa-apa maklum balas atau pun jawapan bertulis sedangkan kita merasakan kerajaan negeri patut membantu Kafa kerana bola sepak merupakan sukan milik rakyat.

“Malah kita turut mendapat maklumat menerusi akhbar yang menyatakan permohonan kita mendapatkan geran kecemasan RM3 juta, pelupusan levi stadium 10 peratus dan 50 peratus geran untuk bajet tahunan juga tidak diluluskan,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor, exconya, Datuk Abdul Halim Hamad dan ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail.

Sehubungan itu, Rosmadi berkata, barisan exco yang mengadakan perbincangan hari ini terpaksa mengekalkan keputusan kongres luar biasa (EGM) persatuan itu yang mahu Kelantan menarik diri daripada menyertai Liga-M, pada 29 Disember lalu.

 Susulan perkembangan terbaharu itu juga, beliau memberitahu, Kafa terpaksa mencari jalan penyelesaian terakhir iaitu bersemuka dengan bekas presiden, Tan Sri Annuar Musa bagi menyelamatkan pasukan bola sepak negeri itu.

“Dalam perbincangan hari ini, kita sepakat mahu mengadakan pertemuan dengan Tan Sri (Annuar), Insya-ALLAH mungkin malam ini kita akan jumpa. Kita rasa masih ada peluang untuk selamatkan Kelantan menerusi bantuan beliau,” katanya.

Mengulas nasib pemain sekiranya Kafa kekal menarik diri, Rosmadi menjelaskan, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan para pemain sendiri berhubung perkara itu.