Kota Bharu: Pertemuan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan kerajaan negeri yang dijadualkan pada 4 Januari ini diawalkan pada hari ini.
Menurut Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, kerajaan negeri bersetuju untuk bertemu pada 2 petang ini untuk membincangkan masalah kewangan yang dihadapi persatuan itu dan isu lain berbangkit.
Katanya, pertemuan itu dapat memberi gambaran sebenar masalah yang dihadapi KAFA sekali gus mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menghadapi saingan Liga Malaysia.
"Perjumpaan KAFA dengan kerajaan Kelantan yang ditunda ke 4 Januari ini diubah sekali lagi kepada hari ini di Kompleks Kota Darul Naim.
"Harapan kita pertemuan ini akan memberi petanda positif kepada bola sepak Kelantan," katanya.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan pertemuan KAFA dengan kerajaan negeri yang sepatutnya berjalan semalam terpaksa ditunda ke 4 Januari berikutan mahu mengutamakan proses bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.