RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Khamis, 5 Januari 2017

KAFA tentukan nasib malam ini



KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan membuat keputusan muktamad malam ini, sama ada akan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017 atau menarik diri kerana masalah utama berkaitan isu kewangan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. 

Pengurusan tertinggi KAFA dijangka akan mengadakan pertemuan terakhir dengan bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk mencari kata putus serta formula terbaik jika mahu kekal dalam saingan Liga M. 

Ketika ini, KAFA dilihat mungkin akan mengekalkan keputusan Kongres Luar Biasa baru-baru ini yang membuat ketetapan menarik diri apabila gagal mendapatkan bantuan kerajaan negeri. 

Walaupun berjanji untuk membantu, namun sehingga jam 10 pagi tadi, tiada sebarang jawapan bertulis diberikan kerajaan negeri kepada KAFA, sedangkan persatuan perlu mengesahkan penyertaan selewat-lewatnya esok. 

Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail mengesahkan KAFA akan mengekalkan keputusan Kongres Luar Biasa baru-baru ini, selepas gagal menerima sebarang jawapan kerajaan negeri. 

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas Exco KAFA beranggapan kerajaan negeri tidak berminat membantu, malah permohonan geran kecemasan bernilai RM3 juta juga ditolak. 

"KAFA sangat kecewa kerana kita sudah memaklumkan tarikh akhir untuk mendapat maklum balas kerajaan negeri," katanya sambil menambah semua isu berbangkit dan kemelut yang melanda KAFA sudah dijelaskan ketika pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Fattah Mahmood. 

"Jadi, kami tetap berharap Annuar dapat memberikan formula terbaik dalam pertemuan dengan ahli majlis KAFA yang dijangka diadakan malam ini," katanya. Sementara itu, Ab Fattah ketika dihubungi enggan mengulas mengenai isu itu kerana sedang melawat mangsa banjir di Rantau Panjang.