KUALA TERENGGANU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu di media sosial kononnya akan berlaku banjir besar di Terengganu dan Kelantan akibat pembukaan dua empangan.
PENGARAH APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.
- Foto Imran Makhzan Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata penyebaran maklumat palsu kononnya akan berlaku banjir besar berikutan pembukaan dua empangan iaitu Empangan Bang Lang Dam, Thailand dan Empangan Pergau, Kelantan, hanya akan mencemaskan orang ramai.
"Kita difahamkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sudah membuat penafian mengenai status viral itu. Justeru, orang ramai tidak perlu berasa cemas dan bimbang.
"Kita mohon dan menyeru kepada semua orang awam supaya sentiasa berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat di media sosial. "Setiap maklumat yang diterima harus dinilai dan diselidik terlebih dahulu sebelum diviralkan kerana ia dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan," katanya.
Terdahulu, orang ramai cemas dengan penyebaran maklumat di media sosial kononnya Empangan Bang Lang Dam dan Empangan Pergau akan dibuka berikutan fenomena hujan berterusan hari ini, sekali gus dijangka menyebabkan banjir besar seperti dua tahun lalu di Kelantan dan negeri ini berulang.