Klang: Sekurang-kurangnya 10 pengunjung cedera selepas terkena letupan bunga api ketika sambutan ambang tahun baru 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, tengah malam tadi.
Orang ramai bertempiaran lari selepas bunga api yang digunakan untuk pertunjukan itu meletup terlebih dulu di atas tanah sebelum sempat ke udara.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang bertugas di kompleks berkenaan.
"Kami menerima panggilan pada 12.10 tengah malam. Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi.
"Tujuh mangsa melecur di kaki manakala tiga lagi mangsa terpaksa dibawa ke Hospital Tengku Ampun Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan selanjutnya," katanya.