BOURNEMOUTH: Olivier Giroud menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan ketika Arsenal bangkit daripada ketinggalan 3-0 untuk mencipta keputusan seri 3-3 pada aksi dramatik di Bournemouth, awal pagi tadi.
Jaringan di separuh masa pertama daripada Charlie Daniels dan Callum Wilson, diikuti gol ketiga Ryan Fraser selepas rehat meletakkan Bournemouth pada landasan terbaik untuk meraih kemenangan pertama ke atas Arsenal.
Namun, Alexis Sanchez dan Lucas Perez merapatkan jurang gol sebelum Giroud menanduk masuk jaringan penyamaan pada lewat permainan untuk melengkapkan kebangkitan pantas Arsenal dalam 20 minit terakhir.
Bagaimanapun kebangkitan mendebarkan Arsenal di saat akhir itu menyaksikan mereka kini lapan mata di belakang pendahulu Chelsea yang akan berdepan Tottenham, awal pagi esok.
Arsenal kini di kedudukan keempat dalam carta liga selepas 20 perlawanan, tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Liverpool dan satu mata ketinggalan kepada Manchester City yang menghuni tangga ketiga.
- AFP
OLIVIER Giroud menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan ketika Arsenal bangkit daripada ketinggalan 3-0 untuk mencipta keputusan seri 3-3 pada aksi dramatik di Bournemouth.Foto Reuters