TUMPAT - Ketika rakan seusianya seronok memilih baju seragam sekolah yang baharu, namun situasi itu tidak dirasai tiga beradik di Kampung Sedar di sini, yang terpaksa memakai kasut buruk ke sekolah kerana kesempitan hidup.
Ibunya, Siti Sakinah Awang, 35, berkata, persiapan persekolahan anaknya hanya ala kadar sahaja.
Katanya, wang yang ada hanya mampu membeli baju sekolah sahaja bagi menggantikan baju lama yang sudah lusuh.
“Kasut lama walau pun buruk tapi boleh pakai lagi, anak-anak dah basuh hari ini untuk dipakai pada hari pertama sekolah nanti.
“Tiada kasut dan beg baru tahun ini untuk anak-anak,” katanya.
Siti Sakinah mempunyai lima anak tiga daripadanya, Mohd Zuhairi, 15, Amirul Idham, 12 dan Mohd Aidid Imran, 8, masih bersekolah.
Suaminya, Saiful Zaid Yaakob, 45, bekerja sebagai pencari besi buruk.
Siti Sakinah berkata, dia tahu jauh di sudut hati anak-anaknya mahu kelengkapan sekolah serba baru tetapi dia tidak mampu menunaikannya.
“Mujur anak-anak faham keadaan keluarga, mereka tak banyak kerenah, pakai kasut buruk pun tak apa.
“Musim buka sekolah ini, perit sebab belanja besar, kena beli baju sekolah, yuran masuk sekolah lagi, buku latihan dan macam-macam lagi.
“Soal yuran buka sekolah ini, mungkin saya bayar ansur-ansur kerana masalah kewangan,” katanya.
Menurutnya, seorang lagi anaknya yang berusia 13 tahun masih tiada kasut kerana kasut lama sudah rosak.