Pada zaman semi-pro atau separa profesional, Kelantan menjadi negeri pertama menswastakan pengurusan pasukannya kepada pihak ketiga.
Pelantikan Ringgit Kreatif Sdn Bhd yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Zaid Ibrahim, membawa angin perubahan.
Pada awalnya, gaji pemain untuk Februari 1993 dibayar pada Januari.
M. Karathu (kini Datuk) dilantik melatih pasukan yang akhirnya mara ke separuh akhir Piala Malaysia -- pencapaian terbaik negeri Cik Siti Wan Kembang sejak era semi-pro diperkenalkan pada 1989.
Dalam perjanjian asalnya, KAFA memberi hak kepada Ringgit Kreatif untuk mengurus pasukan semi-pronya selama lima tahun.
Ringgit Kreatif turut melantik dua penyiasat untuk memantau kegiatan mengatur keputusan perlawanan.
Apa yang berlaku?
Selepas setahun, KAFA dan Ringgit Kreatif berselisih faham dan bertegang urat, sehingga kes saman yang memaksa persatuan membayar hutang kepada syarikat itu berjumlah lebih RM200,000.
Pada DIsember 1993, ikatan itu terlerai, maka Kota Darulnaim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan pula menggantikan Ringgit Kreatif.
KDSB bertahan dua musim sebelum Koperasi Kafa atau Ko-Kafa menguruskan pasukan pada 1996.
Kemudian pada 1997 dan 1998, Nusa Wangsa yang dipengerusikan pengurus pasukan, Suhaidi Yusoff, membiayai pasukan Kelantan.
Kemerosotan Kelantan sehingga jatuh ke Liga FAM pada 2005 mengecewakan peminat negeri itu sebelum Tan Sri Annuar Musa menerajui KAFA pada 2007, serentak dengan kemunculan Mamadou Mustapha sebagai calon Pemain Import Terbaik 2008.
Di bawah kepimpinan Annuar yang turut menswastakan pengurusan pasukan kepada TRW.com Sdn Bhd, Kelantan dan panglima-panglima merahnya menakluki Malaysia dengan menjulang Piala Malaysia dua kali, Piala FA dua kali dan gelaran Liga Super dua kali dari 2010 hingga 2012.
Kini Kelantan di ambang menarik diri daripada saingan Liga Super.
Rentetan peristiwa ini sekadar menampakkan bahawa di sebalik wawasan kepimpinan KAFA sepanjang dua dekad yang lampau, bola sepak tempatan berdepan masalah kelestarian dari sudut ekonomi.
Pendapatan dan model perniagaan jangka masa panjang sukar dijana disebabkan keengganan pihak swasta, korporat dan gergasi-gergasi multinasional melabur dalam bola sepak tempatan, diiringi sikap acuh tak acuh persatuan yang kurang bijak mengurus kehendak penaja, serta politik dalaman.
Quo vadis, Malaysia? (Ke mana mahu pergi, Malaysia?)
-ASTROARENA