
MOHD. Rowi Dollah (kanan) menyerahkan tajaan jersi kepada Kapten Pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi di sini semalam. - UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU 23 Dis. - Syarikat Eniq World Enterprise yang menaja The Red Warrios menerusi produk Glow Glowing Beauty Skin mahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membatalkan hasrat untuk menarik diri daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2017.
Pengarah Urusannya, Datuk Rowi Dollah berkata, penarikan diri itu bukan sahaja merugikan pasukan malah ia turut mencalar maruah rakyat Kelantan yang merupakan peminat tegar sukan bola sepak.
“Saya harap kongres luar biasa Kafa yang bakal bersidang 29 Disember ini membuat ketetapan untuk menolak penarik diri tersebut.
“Sebagai peminat dan penaja TRW saya kecewa sekiranya Kafa menarik diri dari saingan Liga M,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peralatan dan jersi kepada TRW pada sesi latihan di Padang Mardi, di sini semalam.
Glow Glowing Beauty Skin menaja peralatan sukan dan jersi yang dipakai TRW pada musim ini. - UTUSAN ONLINE
