RAHSIA MENJANA 5 ANGKA DENGAN SHOPPE!

Rahsia untuk menjana 5 angka sudah terbongkar Jika betul-betul serius untuk menjana pendapatan di Shopee, boleh tekan gambar di bawah:

Rabu, 28 Disember 2016

Kelantan enggan kibar ‘bendera putih’


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan mengibarkan ‘bendera putih’ sebaliknya tetap berjuang habis-habisan mencari sumber kewangan bagi memastikan The Red Warriors  (TRW) terus kekal dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor menegaskan, walaupun Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Kafa hanya berbaki tiga hari lagi namun beliau percaya persatuannya mampu mendapatkan dana sebanyak RM14.2 juta yang mereka perlukan itu.

“Saya tidak mahu kata Kafa mengaku kalah lebih awal kerana ketika ini pun kami sedang berusaha sedaya-upaya mencari dana bagi menyelamatkan penyertaan pasukan Kelantan.

“Apa yang saya boleh beritahu, memang setakat ini jumlah dana terkumpul masih kekal RM800,000 tetapi kami yakin boleh mencari sumber penajaan lebih banyak sekalipun mengambil sedikit masa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kafa memerlukan RM15 juta bagi membolehkan pasukan itu kekal bersaing secara kompetitif namun persatuan itu masih bergelut mencari sumber kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan presiden, awal bulan lalu.  

Mesyuarat khas Exco Kafa pada 15 Disember lalu, mendedahkan kantung kewangan persatuan itu hanya terkumpul RM800,000 daripada sumbangan penaja kecil dan mereka memutuskan menarik diri daripada menyertai liga domestik musim depan.

Bagaimanapun, hala tuju sebenar skuad pantai timur itu dalam Liga-M musim depan hanya akan ditentukan apabila badan induk bola sepak negeri itu mengadakan EGM di Kota Bharu, Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail berharap Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) dapat mengumumkan jumlah kutipan selepas pihak yang dinaungi sekumpulan bekas pemain negeri itu melancarkan kempen ‘Satu Rakyat Kelantan, RM10’, baru-baru ini.

“Saya minta badan itu kalau boleh umumkan berapa jumlah kutipan sebelum EGM bagi membolehkan kita membuat keputusan berhubung masa depan pasukan ini,” katanya.

- SINAR HARIAN