Selasa, 11 Oktober 2016

KEMBALIKAN HARIMAU MUDA

Image result for harimau muda

Ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pembubaran program Harimau Muda hujung tahun lalu, penulis antara pengamal media arus perdana yang sangsi dengan keputusan itu.

Kini, hanya semusim selepas pembubaran program Harimau Muda kerisauan penulis tampak terbukti benar.

Skuad Bawah 19 dan 22 Tahun tampak gagal konsisten di peringkat antarabangsa, tatkala barisan senior kini juga merasai ketiadaan pemain pelapis sedia ada untuk diserapkan.

Program Harimau Muda adalah faktor utama di belakang kejayaan skuad negara meraih emas Sukan Sea 2009 dan 2011 serta Piala Suzuki AFF 2010.

Piala Suzuki 2010 menyaksikan pengendali negara ketika itu, Datuk K Rajagobal mempertaruhkan tiga pemain Harimau Muda, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Mahali Jasuli di bahagian pertahanan yang membolehkan skuad negara muncul juara buat kali pertama.

Tiga pemain itu mungkin kekurangan pengalaman pada 2010, namun dengan adanya skuad Harimau Muda ia membolehkan mereka berlatih secara harian mengikut modul latihan skuad kebangsaan.

Ini membolehkan mereka mudah menyesuaikan diri apabila bersama skuad senior kebangsaan.

Barisan bawah 23 Tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu juga berjaya mara ke pusingan akhir kelayakkan Olimpik 2012 selain meraih emas Sukan Sea 2011.

Hakikatnya, pemain tempatan lambat matang apabila terpaksa bersaing dengan pemain senior dan awang import untuk tempat dalam pasukan kelab dan negeri masing-masing.

Kerana itu, skuad Harimau Muda juga membantu membentuk kematangan pemain sebelum menyertai pasukan kelab dan negeri asal apabila berusia 23 tahun ke atas.

Penulis berharap, FAM akan menimbang kemungkinan mewujudkan kembali program Harimau Muda selepas ini.

Sekurang-kurangnya wujudkan kembali sebuah barisan Harimau Muda bagi pemain bawah 23 atau 21 Tahun dan beraksi dalam saingan Liga Super atau Perdana.

Penulis optimis, kewujudan semula sebuah skuad Harimau Muda mampu memberi kesan positif  segera buat skuad senior dan bawah umur kebangsaan.

Tiada salahnya untuk FAM kembali menggunakan formula lama yang terbukti berkesan sebelum ini.