KOTA BHARU: Pemilihan kerusi No. 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin panas apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mencalonkan presidennya Tan Sri Annuar Musa untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, pihaknya yakin Annuar mampu untuk membuat perubahan dalam FAM berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.
Beliau berkata, keupayaan yang dimiliki oleh Annuar dilihat mampu melonjakkan kegemilangan FAM ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sekarang.
“Annuar adalah tokoh yang paling layak untuk menerajui FAM yang telah dibuktikan berdasarkan rekod pencapaiannya bersama Kafa.
“Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan persatuan bola sepak malah telah melakukan transformasi bola sepak di negeri ini sehingga menjadi sebuah pasukan yang digeruni,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Tunku Ismail kelihatan akan membuat pusingan U terhadap keputusannya untuk tidak bertanding merebut kerusi FAM apabila kongres luar biasanya berlangsung awal tahun depan.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebelum ini dilaporkan berkata tidak mahu menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang akan melepaskan jawatannya.
Bagimanapun Tunku Ismail dikatakan telah mendedahkan perancangan seandainya baginda berada di kerusi Presiden FAM dalam pertemuan dengan wakil-wakil persatuan bola sepak negeri dan kelab baru-baru ini.
Perkembangan terbaharu ini memberi tanda yang menunjukkan Tunku Ismail, di sebalik penolakannya untuk dicalonkan sebagai Presiden FAM, berkemungkinan mengubah pendirian tetapi ‘masih malu-malu’ untuk berterus terang.
Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi - individu yang bertanggungjawab mengumpulkan 12 ahli gabungan FAM untuk bersemuka dengan Tunku Ismail - mendakwa 17 ahli gabungan FAM telah menyatakan sokongan kepada Tunku Ismail untuk menerajui badan induk tersebut.
Difahamkan pencalonan yang dibuat oleh Kafa itu juga mengambil kira faktor penolakkan Tunku Ismail untuk dicalonkan ke jawatan Presiden FAM sebelum ini.
Sementara itu, Ismail berkata, Annuar telah membuktikan keupayaannya dengan melakukan transformasi pengurusan bola sepak negeri ini ke arah sebuah kelab profesional sejak dilantik menjadi Presiden Kafa pada tahun 2008.
“Di bawah pengurusan beliau, Kafa telah mengeluarkan lebih 100 jenis cenderamata The Red Warriors di bawah anak syarikatnya, Red Warriors Solution Sdn. Bhd. Kami bukan hanya menjual jersi semata-mata dan ini telah menjadi fenomena dalam kalangan peminat.
“Dari segi pengurusan pula, Kelantan menjadi pasukan pertama yang diuruskan oleh sebuah syarikat iaitu The Red Warriors Sdn. Bhd., syarikat milik Kafa yang mana Kevin Ramalingam menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pertama syarikat itu dan dalam masa sama kelab penyokong The Red Warriors ditubuhkan di seluruh negara sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, Annuar juga bukan sahaja membawa pulang tiga piala utama ke negeri ini malah menghidupkan semula arena bola sepak tanah air yang suram pada ketika itu.
“Beliau telah melakukan perubahan dalam bola sepak dan pengalaman yang dimilikinya dalam bidang sukan amat luas termasuk pernah mejadi Menteri Belia dan Sukan yang menyaksikan Piala Thomas berjaya dimenangi semula buat kali pertama selepas berpuluh tahun.
“Sememangnya Annuar layak untuk mengisi jawatan ini,” tegasnya.
- Utusan Malaysia
