Selasa, 12 Julai 2016

"Saya akan bayar, saya tidak akan biarkan pasukan Kelantan didenda" -TSAM


Image result for annuar musa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sekali lagi mengulangi janjinya untuk melunaskan gaji tertunggak lima bekas pemain pasukan itu bagi mengelak persatuan itu diheret ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setakat bulan Jun ini, KAFA didapati masih belum melangsaikan bayaran kepada lima bekas pemain The Red Warriors (TRW) seperti yang diputuskan FAM sebelum ini. 

Mereka ialah Amiridzwan Taj, fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan dan Nazri Ahmad. 

Jika gagal melaksanakannya sebelum 30 Julai ini, KAFA akan dikenakan hukuman oleh FAM akibat sambil lewa mereka dengan tuntutan pembayaran gaji tertunggak itu. 

Begitupun, Annuar yakin kemelut itu mampu diselesaikan tanpa dipanjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM. 

"Itu kalau kami bayar, tak perlu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib. 

"Tempoh akhir adalah pada hujung bulan Julai, tak berbangkit... Insya-Allah kami bayar. 

"Tak akan saya akan biarkan pasukan Kelantan didenda," katanya. 

Meskipun mengakui berdepan krisis kewangan untuk melunaskan gaji tertunggak itu, KAFA tetap berbelanja merombak pasukan. 

Persatuan itu menandatangani dua pemain import baru selepas turut mendapatkan jurulatih asing, Velizar Popov. 

Mengulas mengenai situasi itu, ini reaksi Annuar, "Saya memang terpaksa mengakui kami kekurangan bajet. 
"Tapi oleh kerana kekangan bajet, kami terus tidak berusaha dan tidak beri keutamaan kepada pasukan, perkara ini daripada pengalaman saya akan bertambah kusut. 

"Kalau pasukan semakin hambar, lagi susah kami nak cari duit. 

"Sebab itu bagi saya, keutamaannya mesti menyediakan pemain terbaik yang kami mampu."